Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS)
1.0
PENGENALAN
Pengoperasikan PBS
mula dilaksanakan bagi Tahun 1 pada Sesi Persekolahan Tahun 2011 dan
Tingkatan 1 pada Sesi Persekolahan Tahun 2012.
2.0
DASAR PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH
PBS ditadbir mengikut kuasa-kuasa yang diberikan oleh
Menteri Pelajaran kepada Pengarah Peperiksaan berdasarkan Akta Pendidikan 1996
(Akta 550) : Seksyen 67 -Penilaian Murid, Seksyen 68 - Peperiksaan dan Seksyen
69 – Larangan Tentang Pengendalian Peperiksaan dan Peraturan-Peraturan
Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997, Bahagian II, Perkara 3 iaitu:
untuk memberi nasihat, memantau dan membuat analisis
tentang penilaian berasaskan sekolah;
untuk mengendalikan semua peperiksaan mengikut
peraturan-peraturan, garis panduan dan arahan tentang peperiksaan; dan
untuk mengadakan peperiksaan, untuk mengendalikan
pemantauan peperiksaan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan, garis panduan
dan arahan tentang peperiksaan.
3.0
PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan
di sekolah . PBS dirancang, ditadbir, diskor dan dilaporkan secara terancang
mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. PBS dikendalikan
oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata
pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah rendah menggunakan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan peringkat menengah menggunakan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM). Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran
Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan &
Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran
Psikometrik (Psi).
3.1
Pentaksiran Sekolah (PS)
Pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa,
direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan.
Pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses
pengajaran dan pembelajaran (Contoh: lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai
semak, laporan tugasan dan tugasan rumah); dan
Pentaksiran sumatif dijalankan di akhir suatu unit
pembelajaran (Contoh: ujian bulanan, ujian semester).
PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran
(assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of
learning) dan merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan oleh Lembaga
Peperiksaan berdasarkan KSSR dan KSSM. Proses pentaksiran sekolah adalah
seperti berikut:
Mengenal pasti konstruk atau perkara yang hendak
ditaksir;
Merancang, memilih serta membina dan mentadbir instrumen
pentaksiran yang memberi peluang kepada murid mempamerkan atau mempersembahkan
hasil kerja yang relevan;
Menilai hasil kerja murid dengan merujuk kepada
deskriptor dan evidens dalam standard prestasi untuk menentukan tahap
penguasaan murid;
Memberi maklum balas kepada murid tentang prestasi mereka
berdasarkan kekuatan dan kelemahan serta merancang dan melaksanakan langkah
penambahbaikan; dan
Merekod prestasi dalam portfolio untuk rujukan guru,
penyelaras, murid dan ibu bapa.
3.2
Pentaksiran Pusat (PP)
Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh
guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh
tertentu mengikut mata pelajaran tertentu berdasarkan standard prestasi dan
penjaminan kualiti melalui pemantauan dan penyelarasan. Kaedah pelaksanaan PP
dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru
mata pelajaran dalam tempoh yang ditetapkan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran. Tugasan, peraturan pelaksanaan dan panduan penskoran serta kaedah
pelaporan dihasilkan oleh Lembaga Peperiksaan. Sekolah mentadbir, menskor hasil
kerja murid dan menyediakan pelaporan untuk mengukur proses dan produk yang
autentik. PP ditaksir menggunakan pelbagai kaedah:
Kerja Kursus;
Projek;
Ujian Lisan (Mata Pelajaran Teras dan Elektif);
Tugasan dan Folio;
Pemerhatian;
Kemahiran Amali;
Persembahan dan Pembentangan Lisan; dan
Ujian Bertulis (Mata Pelajaran Teras)
Prinsip-prinsip Pentaksiran Pusat di peringkat rendah dan
menengah rendah adalah:
Lembaga Peperiksaan membekalkan format dan tugasan
pentaksiran;
Tugasan berbeza setiap tahun;
Dilaksana di sekolah;
Tempoh masa pelaksanaan ditetapkan bagi mata pelajaran
terpilih dari kumpulan mata pelajaran teras dan wajib;
Ditaksir oleh guru mata pelajaran;
Skor berdasarkan Standard Prestasi yang dikeluarkan oleh
Lembaga Peperiksaan;
Pemantauan dan penyelarasan peringkat dalaman dan luaran
dilaksanakan bagi menjamin kualiti dan standard; dan
Pelaporan Pentaksiran Pusat dan Pentaksiran Sekolah
digabungkan akhir tahun persekolahan rendah dan menengah rendah.
3.3
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK)
Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah untuk
mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti
jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum. Dalam pelaksanaan PAJSK, setiap
murid dikehendaki melibatkan diri dalam aktiviti yang dirancang dan ditetapkan
oleh guru berkenaan sama ada di dalam atau di luar bilik darjah mengikut
keupayaan murid dan kesesuaian sesuatu aktiviti tersebut. PAJSK merangkumi
pentaksiran berdasarkan aspek-aspek berikut:
Sukan;
Kokurikulum;
Ekstrakurikulum;
Pendidikan Jasmani; dan
Kesihatan.
Panduan instrumen pentaksiran PAJSK disediakan oleh
Lembaga Peperiksaan (KPM) dengan kerjasama badan-badan atau agensi professional
yang berkaitan mengikut kepakaran masing-masing. Instrumen tersebut ditadbir
dan dikendalikan oleh guru berkenaan di peringkat sekolah. Murid Tahap 1 (Tahun
1 – 3) diukur dan dinilai hanya aspek perkembangan fizikal dan kecerdasan serta
penjagaan kesihatan. Manakala untuk murid Tahap 2 (Tahun 4 – 6) dan Sekolah
Menengah, aspek sukan, kokurikulum, ekstrakurikulum, pendidikan jasmani dan
kesihatan diambil kira dalam pengukuran dan penilaian. Pendokumentasian PAJSK
dapat memberi gambaran menyeluruh tentang tahap perkembangan murid dalam
penguasaan ilmu dan penghayatan nilai-nilai teras (core values) yang dipupuk
melalui proses pendidikan seperti berikut:
Berketrampilan;
Berinovasi;
Berakhlak mulia;
Bertanggungjawab;
Bersikap patriotik; dan
Keusahawanan.
PAJSK akan dilaksanakan kepada semua murid Tahun Satu
mulai sesi persekolahan Tahun 2011 dan murid Tingkatan Satu mulai sesi
persekolahan Tahun 2012 bertujuan untuk:
Mengukur kecergasan dan kesihatan murid dalam pelbagai
aktiviti jasmani;
Mengukur penyertaan, penglibatan dan prestasi murid dalam
pelbagai aktiviti kokurikulum dan ekstrakurikulum; dan
Instrumen dan panduan pentaksiran sedia ada dimantapkan
oleh Lembaga Peperiksaan bersama organisasi yang berkenaan berdasarkan bidang
kepakaran masing-masing.
Aktiviti Jasmani diukur berdasarkan Standard Prestasi
Jasmani iaitu:
Panduan Pentaksiran Aktiviti Pendidikan Jasmani;
Format Pelaporan Body Mass Index (BMI);
Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK); dan
Standard Kriteria Penjagaan Kesihatan.
Aktiviti Kokurikulum diukur berdasarkan Standard Prestasi
Kokurikulum dan ditaksir menggunakan pelbagai jenis aktiviti dan instrumen
seperti:
Kecergasan : sebagai contoh: naik turun bangku, BMI;
Kesihatan : pemerhatian, Buku Rekod Kesihatan;
Penyertaan : keahlian, kehadiran;
Penglibatan : jawatan, komitmen, peringkat; dan
Prestasi : pencapaian, sumbangan.
PAJSK boleh dilaksanakan secara berkala atau berterusan
mengikut keperluan dan ditaksir oleh guru, rakan sebaya, ibu bapa dan agensi
luar.
3.4
Pentaksiran Psikometrik (PSi)
Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan /
atau pusat untuk mengukur kebolehan semulajadi, kemahiran berfikir, kemahiran
menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.
Pentaksiran Psikometrik adalah pentaksiran yang direkabentuk untuk mendapatkan
maklumat secara kualitatif dan kuantitatif tentang keupayaan seseorang untuk
bertindak balas dalam suatu cara tertentu. Pentaksiran ini boleh mengukur
kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired
ability) daripada pengalaman dan persekitaran dan tidak berasaskan kurikulum
dan proses pengajaran dan pembelajaran.
Lembaga Peperiksaan menyediakan manual ujian yang
komprehensif dan mesra pengguna. Instrumen pentaksiran psikometrik dibangunkan
oleh pakar psikometrik dan ahli psikologi. Ia ditadbir mengikut keperluan,
secara manual atau berkomputer oleh guru atau murid itu sendiri. Laporan
pentaksiran dibuat dalam bentuk deskriptif.
Jenis Pentaksiran Psikometrik yang dilaksanakan di
peringkat sekolah rendah dan menengah rendah adalah seperti berikut:
i. Ujian Aptitud Am
Ukuran gabungan beberapa kebolehan berkaitan :
visual - ruang - bukan verbal (pintar ruang);
linguistik/verbal (pintar perkataan);
logik-matematik/numerikal (pintar nombor/penaakulan); dan
minat dan
kecenderungan.
ii. Ujian Aptitud Khusus
Ukuran kebolehan khusus yang berkaitan dengan potensi
diri murid dalam sesuatu bidang pekerjaan atau khusus:
muzik (pintar muzik);
kreativiti (pintar minda);
interpersonal (pintar orang - pengalaman sosial);
intrapersonal (pintar diri - refleksi kendiri);
kinestatik - jasmani (pintar jasmani); dan
naturalis (pintar naturalisme).
iii. Inventori Personaliti
Ukuran ciri-ciri perilaku unik dan stabil yang ada pada
setiap individu yang membezakannya dengan orang lain untuk:
membantu guru mengenal pasti aspek-aspek sikap dan
personaliti individu murid supaya strategi pengajaran yang sesuai dapat
digunakan;
membantu murid memahami personaliti diri sendiri dan
orang lain untuk tujuan berinteraksi; dan
mengenalpasti stail pembelajaran.
Dipetik daripada : Panduan dan Peraturan Pentaksiran
Berasaskan Sekolah. Kuala Lumpur: Lembaga Peperiksaan Malaysia. (2011)
No comments:
Post a Comment